Saturday, January 23, 2010

PERNYATAAN MASALAH PRAKTIKUM 7

Masalah praktikum ketujuh ialah penerapan Kemahiran Berfikir yang sangat terhad yang berulang-ulang dengan kemahiran yang sama. Masalah ini telah menyebabkan guru tidak tahu untuk mencungkil kemahiran berfikir dalam kalangan murid dan sesi P&P dilakasanakan berpusatkan guru. Berdasarkan temubual dengan guru pelatih didapati bahawa mereka tidak arif tentang kemahiran berfikir.

PERNYTAAN MASALAH PRAKTIKUM 6

Masalah praktikum keenam ialah tidak mengaitkan Pengetahuan Sedia Ada (PSA) dengan penetapan aras. Masalah ini telah menyebabkan aras yang dinyatakan telah dicapai sebelum sesi P&P dijalankan. Berdasarkan temubual dengan guru pelatih didapati bahawa mereka tidak menyedari hubungan antara kedua-dua elemen dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Berdasarkan analisis saya, kemungkin masalah ini berpunca daripada susun atur dua elemen ini yang dijarakkan oleh beberapa perkara lain seperti Kemahiran Berfikir, Perentasan dan sebagainya. Sepatutnya dua elemen ini disusun berturutan untuk mewujudkan hubungan saling berkait.

PERNYATAAN MASALAH PRAKTIKUM 5

Masalah praktikum kelima ialah perancangan aktiviti tidak lengkap yang menyebabkan sesi P&P dilaksanakan ikut kesempatan dan apa terfikir dan terlintas secara sepontan. Berdasarkan temubual dengan guru pelatih, mereka tidak mampu untuk mengolah aktiviti P&P. Mereka juga tidak dapat mencadangkan lima aktiviti bagi setiap langkah kerana sukar untuk mengenalpasti manakah teknik P&P yang sesuai untuk dilaksanakan.

PERNYATAAN MASALAH PRAKTIKUM 4

Masalah praktikum keempat ialah tiada penilaian dibuat oleh guru pelatih. Berdasarkan temubual dengan guru pelatih didapati mereka sangat bergantung kepada ujian bulanan dan semester yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Mereka juga tidak mengetahui jenis dan kepentingan ujian sebagai alat penilaian untuk membantu guru mambuat penambahbaikan yang berterusan terhadap P&P. Jika adapun ujian yang dibuat ialah bersifat umum yang tidak memberikan banyak makna, tiada analisis dan tidak dinyatakan segmentasi melalui headcount. Ketiadaan ujian dan analisis yang terliti menyebabkan guru pelatih tidak dapat memberikan fokus kumpulan sasaran semasa melaksanakan sesi P&P. Oleh sebab itu didapati guru pelatih tidak menjalankan aktiviti penilaian bagi setiap aras semasa sesi P&P sedang dilaksanakan.

PERNYATAAN MASALAH PRAKTIKUM 3

Masalah ketiga ialah penulisan refleksi yang tidak berfokus menyebabkan kenyataan yang dizahirkan bersifat umum dan tidak bermakna untuk penambahbaikan. berdasarkan temubual dengan guru pelatih didapati bahawa mereka masih kabur dengan catatan refleksi memandangkan sesi perbincangan yang diadakan ketika cuti terlalu padat dengan jadual kuliah. ( Rujuk cadangan penulisan refleksi dalam blog ini ).

PERNYATAAN MASALAH PRAKTIKUM 2

Masalah kedua ialah penulisan jurnal yang kurang berkesan yang menzahirkan tiada rumusan dan tindakan yang konkrik dan sistematik yang diambil dan dicadangkan. Berdasarkan temubual dengan guru pelatih, didapati bahawa guru pelatih tidak dibekalkan dengan contoh jurnal yang konkrik. Berdasarkan pengalaman praktikum didapati pernah wujud suatu masa bahawa penulisan jurnal disusun mengikut urutan Kajian Tindakan (KT). Penulisan jurnal format ini disusun seperti berikut:
1. Masalah atau isu.
2. Refleksi atau perasaan terhadap isu.
3. Cadangan alternatif langkah mengatasi.
4. Laporan pelaksanaan setiap alternatif yang dicadangkan dalam perkara 3.
5. Masalah atau isu berbangkit hasil pelaksanaan alternatif dalam 3 dan 4.
6. Cadangan langkah mengatasi pada masa akan datang.

PERNYATAAN MASALAH PRAKTIKUM 1

Sepanjang menyelia praktikum guru pelatih praperkhidmatan kedapatan beberapa masalah yang memerlukan perhatian khusus semua pihak yang terlibat.

Masalah pertama ialah penetapan atau pemilihan aras tidak mengikut Taksonomi Bloom yang menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&) tidak berjalan lancar dan antiklimaks. Penyusunan aras sering mempengaruhi aliran proses P&P. Berdasarkan temubual dengan guru pelatih didapati bahawa mereka tidak pernah dimaklumkan tentang Taksonomi Bloom. Setelah dirujuk kepada modul yang dibekalkan kepada guru pelatih Program Latihan Berasaskan Sekolah, maka didapati teori berkenaan akan dibincangkan dengan guru pelatih dalam interaksi akhir selepas selesai praktikum dalam topik penilaian.