Saturday, August 4, 2012

Abstrak Kajian Permasalahan Amalan Pengajaran


Permasalahan Amalan P&P Dalam Kalangan Guru Pelatih Praktikum KPLI LPBS j-QAF

Oleh,

Ustaz Md Zuki Bin Hashim
Jabatan Pendidikan Islam & Moral
IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah
 

ABSTRAK

Kajian ini adalah kajian kes ke atas sembilan orang guru pelatih program KPLI LPBS j-QAF yang sedang menjalani latihan praktikum bagi mengenalpasti permasalahan yang sering dihadapi dan puncanya. Kajian ini diharapkan dapat membantu meningkatkan keberkesanan latihan praktikum melalui penyeliaan berfokus. Data kajian diperoleh daripada pemerhatian ke atas amalan pengajaran dalam bilik darjah. Data yang diperoleh direkodkan sebagai catatan anekdot. Data juga diperoleh daripada temubual dengan guru pelatih untuk mengenalpasti punca setiap masalah praktikum.  Kajian ini mendapati enam permasalahan yang sering dihadapi oleh para guru pelatih iaitu kurang berjaya menjalankan penilaian aras bagi setiap langkah pengajaran, kurang berjaya melaksanakan kepelbagaian teknik pengajaran & pembelajaran, kurang mahir menerapkan kemahiran berfikir, kurang berjaya menerangkan pemikiran reflektif, kurang berjaya menggunakan Bahan Bantu Mengajar secara berkesan, kurang berjaya mengawal kelas semasa P&P. Kajian ini juga mendapati antara punca permasalahan praktikum ialah bimbingan keguruan semasa interaksi bersemuka yang kurang berkesan, latihan praktikum dijalankan sebelum sukatan pelajaran kursus keguruan disempurnakan ketika interaksi bersemuka, tiada pendedahan kemahiran belajar dalam struktur kursus dan tiada keselarasan format refleksi pengajaran. Semoga hasil kajian ini dapat membantu guru pelatih untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran keguruan yang diperlukan oleh sistem pendidikan arus perdana di Malaysia. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjutan berasaskan kepada setiap permasalahan yang telah dizahirkan dalam kajian ini.