Wednesday, January 11, 2012

ABSTRAK KAJIAN TINDAKAN

Berikut ini saya perturunkan abstrak kajian tindakan yag telah saya jalankan dalam kalangan Guru Pelatih Praktikum pada semester 1/2011. Semoga abstrak ini akan mencetus perkongsian lanjut dalam kalangan warga pendidik.  Kertas ini telah dibentang pada 20 Oktober 2011 dalam Seminar Penyelidikan Pendidikan IPG Zon Utara di IPG Kampus Pulau Pinang.

APLIKASI JARAWAK UNTUK MEMPERTINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBUAT PENILAIAN ARAS HASIL PEMBELAJARAN SETIAP LANGKAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Oleh;
Ustaz Md Zuki Bin Hashim
Guru Cemerlang
Jabatan Pendidikan Islam & Moral
IPG Kampus Sultan Abdul Halim

ABSTRAK
Kajian Tindakan ini telah dijalankan dengan tujuan untuk mempertingkatkan kemahiran membuat penilaian aras HP bagi setiap langkah P&P dalam kalangan GPP. Berdasarkan pengalaman penyelidik menyelia praktikum didapati GPP tidak mahir membuat penilaian aras HP setiap langkah P&P.  Penyelidik telah memerhati amalan membuat penilaian dalam kalangan peserta kajian dan didapati bahawa mereka juga tidak melakukannya kerana sukar untuk membuat penilaian dalam kalangan murid yang sangat ramai kerana akan melibatkan masa yang lama. Penyelidik telah membina modul JARAWAK untuk membantu GPP membuat penilaian aras. GPP telah dibimbing untuk membina JARAWAK bermula daripada membuat ujian pengkelasan murid, menganalisis dapatan ujian, membina JARAWAK dan aplikasi JARAWAK dalam bilik darjah.  Kajian ini dijalankan dalam kalangan tiga orang GPP PISMP semester tujuh. Dapatan kajian berasaskan pemerhatian penyelidik terhadap amalan P&P di lapangan dan analisis dokumen RPH.  Kajian ini telah mendapati bahawa GPP begitu mahir membina ujian pengkelasan murid dan menganalisis secara lebih bermakna.  Dapatan kajian ini juga telah membuktikan bahawa penggunaan modul JARAWAK telah berjaya meningkatkan kemahiran membuat penilaian aras HP bagi setiap langkah P&P dalam kalangan peserta kajian. Dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu GPP untuk meningkatkan kemahiran menilai aras HP. Manakala Guru Pembimbing dan Pensyarah Penyelia pula dapat membimbing dan menyelia GPP secara berkesan.

No comments: